Perlu Penambahbaikan Saluran Bantuan Kepada Rakyat Semasa COVID-19

GEORGE TOWN, 17 April – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor meminta kerajaan negeri untuk membuat beberapa penambahbaikan dalam pemberian bantuan kepada rakyat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya hendak fokus di sini tentang isu penjaja kecil yang tidak berlesen dan pengusaha makanan industri kecil-kecilan. Saya melihat mereka paling terkesan dan aktiviti hari ini yang mengehadkan aktiviti perniagaan, sudah tentu mereka terjejas kerana hilang pendapatan tidak dapat berniaga.

“Kita perlu melihat dan mencari satu jalan dan kaedah untuk memberi selain daripada bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya ketika membahaskan ucapan terima kasih Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disiarkan secara langsung menerusi laman sesawang rasmi DUN Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Beliau berkata selain peniaga kecil, sektor pengangkutan yang bergantung kepada industri atau kilang-kilang yang tidak dapat beroperasi semasa PKP dikuatkuasakan turut menerima tempias.

“Bila kilang tutup, pengusaha lori ini tidak dapat jalankan perniagaan. Bantuan kerajaan negeri hanya diberikan kepada pemandu pelancong, e-hailing dan sebagainya tetapi golongan ini tidak termasuk dalam penerima bantuan dan mereka kena cari pendapatan lain,” katanya.

Muhamad Yusoff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua memohon agar kerajaan negeri memberikan pakej bantuan kepada pengusaha bas sekolah dan bas pelancong yang sudah satu bulan tidak mempunyai pendapatan ekoran wabak ini.

Dalam pada itu, beliau turut memuji langkah yang telah dibuat oleh kerajaan Pulau Pinang dalam usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19 di negeri ini dengan menyusun pelbagai strategi dalam tempoh segera.

“Syabas dan tahniah yang telah turun padang dan syabas pada barisan hadapan yang bertugas dengan cemerlang tanpa mengambil kira risiko yang dihadapi. Apabila negara kita dilanda COVID-19, tugas sebagai wakil rakyat juga semakin mencabar dan saya juga berterima kasih dengan peruntukan RM30,000 yang diberikan kepada semua ADUN untuk bantuan kepada rakyat,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.