KWP Cadang Wujud Dapur Bergerak Di Kawasan PKPD

KUALA LUMPUR, 17 April – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bercadang untuk mewujudkan dapur bergerak di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk membekalkan makanan kepada penduduk terjejas.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menggerakkan dapur itu bagi memudahkan penduduk terjejas mendapat makanan, terutamanya ketika bulan Ramadan.

“Kami sudah berunding dengan tentera supaya dapur mereka dari kem boleh dibawa keluar ke kawasan-kawasan PKPD, namun perkara ini masih lagi dibincangkan di peringkat Pusat Pengurusan Krisis (CMC).

“Kalau tidak kita akan timbul masalah logistik, bulan puasa makanan nak cepat, kedai duduk jauh-jauh jadi daripada segi tenaga kami tak larat nak bagi makanan bungkus, kami mahu supaya langkah proaktif dapat diambil,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) di CMC Jalan Tun Razak, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Annuar berkata pihaknya juga telah mewujudkan dana khusus di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menangani keperluan bekalan di kawasan PKPD.

“Kami menjangkakan sebanyak RM2 juta boleh dikutip untuk keperluan makanan warga kota yang terjejas, termasuk warga asing.” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata pihaknya meminta maaf kepada para peniaga dan penjaja yang terjejas akibat ketiadaan Bazar Ramadan pada tahun ini.

“Saya harap mereka faham kerana tiga alternatif yang kami syorkan itu tidak dapat dijalankan berikutan penularan wabak. Jadi dengan bantuan sedia ada daripada kerajaan diharapkan mereka dapat bersabar dan berkorban untuk mengurangkan kes jangkitan COVID-19,” katanya.

Dalam majlis itu, sebanyak 250,000 penutup mulut dan hidung, 40 unit Infrared Thermometer dan 50 botol ‘hand sanitizer’ disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sumbangan itu disampaikan oleh Zulkifli kepada Annuar.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata MAIWP sehingga kini menerusi misi Musaadah COVID-19 telah meluluskan peruntukan khas zakat sebanyak RM34.41 juta bagi membantu asnaf dan golongan memerlukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.