K’jaan Johor Beri Bantuan Tunai Kepada Rakyat Bukan Penerima BSH, BPN

JOHOR BAHRU, 17 April – Kerajaan Negeri Johor akan memberikan bantuan tunai antara RM250 dan RM500 kepada rakyat yang bukan tergolong sebagai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dalam berhadapan kesan pandemik COVID-19.

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata pemberian bantuan yang turut meliputi golongan M40 itu akan dilaksanakan mulai minggu depan.

“Bagi melaksanakannya, pusat maklumat Ihsan Johor memerlukan setiap pemohon untuk menyatakan latar belakang sama ada mereka bekerja sendiri, diberhentikan kerja atau mempunyai tanggungan ramai.

“Berdasarkan maklumat yang dibekalkan ini, mereka akan diberi pemarkahan untuk melayakkan mereka menerima RM250 ataupun satu jumlah yang lain,” katanya dalam bicara berhubung Inisiatif Johor Memerangi COVID-19 yang disiar secara langsung menerusi laman Facebook rasmi UMNO Online, hari ini.

Hasni berkata setiap pemohon juga diperlukan menyatakan kaedah bantuan tersebut disampaikan bagi memudahkan pihaknya melaksanakan pemberian tersebut.

“Ini termasuk sama ada mahu kami (Kerajaan Negeri Johor) buat melalui akaun-akaun bank yang dimaklumkan ataupun sekiranya tidak mempunyai akaun bank, mereka bolehlah berurusan dengan Pejabat Daerah melalui penghulu atau ketua kampung untuk mereka menerima bantuan yang ditetapkan,” katanya.

Menurut beliau, bagi menjaga kebajikan golongan peniaga kecil seperti pengusaha Bazar Ramadan pula, pihaknya turut akan menyediakan geran galakan sebanyak RM200 seorang kepada golongan terbabit bagi memastikan mereka berupaya memasarkan produk secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Untuk membantu mereka, kerajaan negeri telah melantik dua syarikat yang akan menyediakan platform untuk berniaga dalam talian. Setiap syarikat ini akan membantu dari segi aspek pemasaran dengan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya peniaga ini dapat terus berniaga di kawasan masing-masing.

“Maklumat mengenainya (geran dan penyedia platform niaga dalam talian) boleh diperoleh daripada laman sesawang PBT masing-masing. Mereka juga akan dihubungi oleh penyedia platform ini kerana mempunyai data pendaftaran bersama PBT,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.