Jangan Bangga Apabila Buat Salah – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 17 April – “Jangan berbangga apabila melakukan kesalahan dan mengajak orang lain untuk melakukannya”, itu peringatan daripada Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata tidak ada sesiapa pun yang boleh terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang dengan mengingkari arahan dan peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terpakai selama ini.

“Semalam, kita lihat tular di media sosial gambar keluarga menunjukkan mereka sedang balik ke Kuala Lumpur dan mereka bagi tips kepada orang ramai bagaimana cara nak lepas (sekatan jalan raya).

“Saya ingin jelaskan bahawa polis telah pun mengenal pasti mereka ini dan tindakan akan diambil. Jadi tolonglah jangan berbangga dengan melakukan kesalahan dan menganggap diri sebagai hero kerana akhirnya tindakan akan diambil dan menyusahkan diri mereka dan keluarga.

“Tiada sesiapa pun yang boleh terlepas daripada tindakan undang-undang dan diambil tindakan oleh polis jika mereka melakukan kesalahan. Lebih-lebih lagi apabila mereka sendiri telah mengakui bahawa mereka telah pun ingkar kepada arahan dan peraturan di bawah PKP,” katanya pada sidang media harian PKP, hari ini.

Beliau mengulas mengenai sekeping gambar tular kononnya sebuah keluarga berjaya pulang ke Kuala Lumpur dan melepasi sekatan jalan raya dengan alasan menghantar anak ke hospital. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.