COVID-19: Kes Positif Harian 69, Angka Terendah Sejak PKP

PUTRAJAYA, 17 April – Malaysia kembali menunjukan perkembangan positif apabila kes positif harian COVID-19 hari ini mencatatkan angka terendah iaitu 69 kes, berbanding tiga angka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Malah, jumlah kes pulih harian adalah 201 kes, hampir tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kes baharu yang direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan 201 kes pulih, ia menjadikan jumlah kumulatif terkini kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan didiscaj daripada wad adalah sebanyak 2,967 kes atau 56.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Enam puluh sembilan kes baharu ini menjadikan kes positif COVID-19 di Malaysia kini berjumlah 5,251 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 2,198 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Bercakap pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata terdapat pertambahan dua lagi kes maut, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 86 kes atau 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya kematian ke-85 (kes ke-5064) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 85 tahun yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19, iaitu kes ke-4,657 berkaitan dengan kluster PUI Bali.

“Beliau telah dirawat untuk penyakit barah darah di sebuah pusat perubatan swasta dan kemudiannya dipindah ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 15 April dan disahkan meninggal dunia pada pukul 3.30 petang.

“Kematian ke-86 (kes ke-5,183) juga lelaki warga Malaysia berumur 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan strok. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.