Tabung Perubatan KKM Terima RM174 Juta – Dr Adham

PUTRAJAYA, 16 April – Tabung Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani COVID-19 telah menerima sumbangan bernilai lebih RM174 juta daripada 216 penyumbang berbentuk wang tunai, peralatan dan perkhidmatan sehingga hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataannya berkata, KKM mengucapkan terima kasih atas sumbangan pelbagai pihak yang prihatin untuk sama-sama mendepani cabaran memutuskan rantaian COVID-19 di negara ini.

“Keprihatinan dan sumbangan semua pihak amat bermakna dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19,” katanya lagi.

Tambah Dr Adham kesungguhan dan kesatuan semua pihak, pelbagai kaum dan agama boleh menjayakan misi menyelamatkan rakyat dan membawa negara ini keluar dari pandemik COVID-19.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3 yang sedang dikuatkuasakan di seluruh negara mestilah dijayakan. Patuhi PKP, duduk rumah, amal penjarakan sosial dan amalkan kebersihan diri. Kita mesti menang,” katanya lagi.

Tabung Perubatan KKM dilancarkan pada 23 Mac lalu untuk menangani pandemik COVID-19.

Terdahulu Dr Adham menerima sumbangan wang tunai hampir RM13 juta dari pelbagai organisasi untuk Tabung Perubatan KKM di KKM di sini hari ini.

Selain wang tunai tabung berkenaan turut menerima sumbangan berbentuk peralatan perlindungan diri (PPE), kit ujian, penutup mulut dan hidung serta penginapan percuma di Hotel Ruai Inap Kajang untuk petugas KKM yang terlibat dalam pengendalian COVID-19.

Antara penyumbang ialah Etiqa Family Takaful Berhad, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Yayasan Waqaf Malaysia, Coway (Malaysia) Sdn Bhd, Koperasi Co-opbank Persatuan Malaysia Bhd atau Co-Op Bank Pertama, Prokhas Sdn Bhd, Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia; Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Star Medik Sdn Bhd, Mr DIY Group (M) Bhd, Yayasan Keusahawanan Sosial, Me.Reka Innovative Education Sdn Bhd; Coast Guard Sdn Bhd dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM). – BERNAMA