Kimma, MIBA Sumbang Makanan Untuk Penduduk Sekitar Masjid India

PUTRAJAYA, 16 April – Susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar Masjid India, Presiden Kongres Indian Muslim Malaysia (Kimma) dan Persatuan Perniagaan Masjid India (MIBA) mengambil langkah awal untuk menghulurkan sumbangan kepada penduduk terlibat.

Difahamkan, penguatkuasaan yang bermula Rabu melibatkan kira-kira 850 orang penduduk yang tinggal di premis sekitar kawasan itu termasuk warga asing.

Sehubungan itu, bagi membantu mereka yang mengalami kesukaran untuk menjalani kehidupan sepanjang tempoh tersebut, Kimma dan MIBA akan menyediakan sumbangan makanan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Sri Dr. Santhara berkata, sumbangan makanan akan dilakukan tiga kali sehari meliputi sarapan, makan tengah hari dan malam.

“Sumbangan tersebut akan mula diserahkan pada Isnin ini sehingga 28 April.

“Makanan tersebut akan diletakkan di khemah yang disediakan bagi memudahkan pengagihan dibuat,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Dalam pada itu, Santhara turut menegaskan bahawa sumbangan tersebut sepenuhnya diperuntukkan kedua-dua badan berkenaan.

Semalam, beliau mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kawasan Masjid India yang dihadiri Presiden Kimma, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader dan Presiden MIBA yang juga Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holding Bhd., Ameer Ali Mydin.

Turut serta, Panglima 12 Bridged, Bridgedier Jeneral, Datuk Marzuki Mokhtar dan wakil-wakil agensi yang lain. – WILAYAHKU