Kes Baharu Positif COVID -19 Kembali Meningkat Kepada 110 Kes – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 16 April – Kes positif harian COVID-19 kembali meningkat kepada tiga angka dengan 110 kes baharu dicatatkan setakat 12 tengah hari ini, berbanding 85 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,182 kes.

Bagaimanapun beliau berkata, bilangan kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini terus menunjukkan perkembangan positif iaitu sebanyak 119, melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 2,766 kes iaitu 53.4 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Menjelas lanjut Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 setakat ini adalah 2,332 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Manakala 56 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan daripada jumlah tersebut, 29 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan satu kes kematian menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 di negara ini kepada 84 kes, iaitu 1.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya kematian ke-84 (kes ke-4,711) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung dan darah tinggi.

“Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 9 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 15 April 2020 jam 12.55 tengah hari. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.