UPSR Dan PT3 Bagi Tahun 2020 Dibatalkan

PUTRAJAYA, 15 April – Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020 dibatalkan, umum Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata, pembatalan UPSR tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan peringkat rendah, kerana penilaian boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah lain.

“Memandangkan keputusan UPSR dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), KPM akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan ini yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata.

“Pembatalan PT3 tidak akan menjejaskan penilaian tahap penguasaan murid di peringkat menengah rendah. Satu kaedah baharu akan diperkenalkan. Keputusan yang diperoleh dari kaedah ini akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan, untuk kemasukan ke sekolah-sekolah khusus seperti sekolah berasrama penuh dan sekolah teknik,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya KPM akan memastikan dalam apa jua keadaan, akses murid kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) tetap diberi keutamaan.

Mohd Radzi berkata, keputusan itu terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM. Sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM, juga disarankan untuk turut mengikuti keputusan ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) akan ditunda kepada suku pertama tahun 2021.

Untuk calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), jelasnya tarikh peperiksaan Semester 2 diubah kepada bulan Ogos 2020, manakala peperiksaan Semester 3 akan diadakan dalam suku pertama tahun 2021.

Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) juga akan diadakan dalam suku pertama tahun 2021.

“Menyedari bahawa penundaan tarikh peperiksaan ini akan memberi kesan kepada kemasukan ke peringkat pengajian tinggi, KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah bersetuju untuk menangguhkan tarikh kemasukan baharu ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi program asasi, matrikulasi dan peringkat Diploma sehingga Julai atau Ogos 2021 manakala program ijazah pada September atau Oktober 2021,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.