Kontrak Perkhidmatan 2,070 Pegawai Perubatan, Pergigian Dan Farmasi Disambung Enam Bulan – Dr Adham

KUALA LUMPUR, 15 April – Kerajaan meluluskan penyambungan kontrak perkhidmatan 2,070 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tempoh enam bulan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kelulusan itu melibatkan penyambungan perkhidmatan kontrak untuk 79 pegawai perubatan Gred UD41, 852 pegawai pergigian Gred UG41 dan 1,139 pegawai farmasi Gred UF41 yang akan diuruskan dari semasa ke semasa.

“Langkah ini juga sangat bertepatan serta selari dengan matlamat kerajaan dan KKM untuk menangani dan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, KKM amat prihatin terhadap situasi semasa dan suara hati rakyat serta tanggungjawab besar yang dipikul warga kerja kementerian itu di barisan hadapan dalam menghadapi cabaran besar wabak COVID-19.

Kerajaan juga berharap penyambungan kontrak perkhidmatan itu dapat menyediakan peluang kepada pegawai untuk terus berkhidmat serta memastikan penyampaian kesihatan berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat, katanya.

Beliau berkata keputusan tersebut melibatkan petugas kontrak perkhidmatan yang telah atau akan berakhir secara berperingkat pada akhir tahun 2019 dan 2020 sahaja. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.