Konsep E-Bazar Pandu Lalu, ‘Pick-Up’ Akan Diperhalusi

PUTRAJAYA, 15 April – Cadangan operasi e-bazar Ramadan menerusi kaedah pandu lalu dan ‘pick-up’ akan diperhalusi, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pada masa ini kabinet bersetuju membenarkan kaedah pesanan dalam talian dan penggunaan perkhidmatan e-hailing untuk penghantaran.

“Kabinet minta perkara ini terus diperhalusi, kerana kebimbangan kita adalah dari segi jumlah kenderaan terlibat apabila konsep pandu lalu dan sebagainya diperkenalkan, saya percaya ramai akan keluar serentak dan akhirnya menyebabkan jumlah yang ramai.

“Jika mereka dibenarkan keluar walaupun pandu lalu atau ambil produk dipesan, akan ada lebih banyak alasan yang diberikan kepada pihak polis, khususnya mereka yang agak sukar mematuhi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sebelum ini,” katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan PKP.

Menurut Ismail Sabri, alasan-alasan seumpama itu akan menyukarkan tugasan pihak polis, terutama bagi mengawal mereka yang sebelum ini sukar mematuhi PKP.

Sementara itu ketika menjawab soalan mengenai keputusan kerajaan negeri Perlis membenarkan peniaga berniaga di tepi jalan sebagai langkah alternatif, beliau menyarankan agar keputusan itu ditangguhkan sehingga Prosedur Operasi Standard (SOP) diselaraskan di peringkat kerajaan persekutuan.

“Walaupun majlis daerah, perbandaran mempunyai kuasa mereka sendiri untuk menentukan, tapi kita minta supaya tunggu dan kita selaraskan, supaya tidak ada perbezaan antara kerajaan negeri dan juga keputusan yang dibuat MKN di peringkat persekutuan.

“Begitu juga dengan e-bazar, kita minta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk meneliti perkara itu,” katanya. – BERNAMA