RM1 Juta Dana Khusus Untuk Gelandangan – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 14 April – Kementerian Wilayah Persekutuan akan mewujudkan dana khas berjumlah RM1 juta bagi menjaga kebajikan golongan gelandangan di sekitar ibu kota.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata sebahagian daripada dana itu akan disalurkan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk tujuan perubatan, perkhidmatan kaunseling selain menyediakan kemudahan kepada golongan gelandangan.

Pihaknya juga akan menggerakkan satu jawatankuasa khas gelandangan yang dianggotai agensi-agensi kerajaan seperti Yayasan Kebajikan Negara, Jabatan Tenaga Kerja, Agensi Antidadah Kebangsaan serta beberapa NGO dalam usaha itu.

“Dana ini juga akan digunakan untuk melengkap kemudahan-kemudahan gelandangan seperti di asrama yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan syarikat yang akan menggaji mereka untuk bekerja.

Kami mahu memastikan supaya Kuala Lumpur dapat dibersihkan dan mengelakkan gelandangan terus berkeliaran untuk jangka masa panjang meskipun sudah habis tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam ucapan beliau secara langsung di Facebook hari ini.

Pihak luar juga dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang sumbangan kepada dana khas itu bagi membolehkan perancangan jangka panjang untuk golongan gelandangan dapat digerakkan.

“Golongan dengan kepakaran dalam perubatan dan kesihatan mental juga dialu-alukan untuk membantu kami sebagai sukarelawan dalam jawatankuasa itu supaya gelandangan dapat dibantu,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata setakat semalam berlaku pertambahan sebanyak 27 kes positif COVID-19 di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 830 kes.

“Selain itu, operasi sanitasi bangunan-bangunan, termasuk bangunan dalam di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di ibu kota akan terus dijalankan, terutamanya apabila ada kes positif dilaporkan di satu-satu tempat,” katanya. – BERNAMA