Tiada Pencerobohan Pendatang Tanpa Izin Dikesan Di Sempadan Negara – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 13 April – Tiada pencerobohan pendatang tanpa izin dikesan di sempadan negara termasuk di jalan-jalan tikus setakat ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa di seluruh negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil maklum, ramai yang menyuarakan kerisauan mengenai kawalan di sempadan dan jalan tikus, namun beliau memberi jaminan bahawa ia sentiasa dikawal anggota penguat kuasa bertugas.

“Kita dapat laporan daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia, bahawa pintu sempadan negara sentiasa dikawal terutama jalan-jalan tikus digunakan oleh pendatang asing tanpa izin.

“Seperti kita tahu sempadan kita telah ditutup kepada kemasukan semua warga asing dan jalan tikus kita sentiasa dipantau untuk pastikan tiada warga asing yang menyeludup masuk,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP di sini, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata tindakan tegas pastinya diambil terhadap mana-mana warga asing yang memasuki negara ini melalui jalan-jalan tikus.

Selain jalan darat, beliau berkata mesyuarat pada pagi tadi turut memutuskan bahawa tindakan pengusiran akan diambil terhadap bot dari negara asing yang cuba menceroboh negara.

Beliau berkata sama sepertimana jalan darat, perairan negara juga dikawal dan dalam hal ini Tentera Laut Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malayia akan mengambil tindakan tegas untuk menghalang sebarang pencerobohan.

Mengenai rakyat Malaysia yang terkandas di negara-negara yang mengenakan sekatan akibat virus berkenaan, Ismail Sabri berkata urusan penerbangan khas akan diuruskan Kementerian Pengangkutan sekiranya dibenarkan negara-negara terbabit.

Bagaimanapun, jelasnya sekiranya pihak kerajaan diberi kebenaran, kos membawa pulang perlu ditanggung individu terbabit.

Sementara itu. Ismail Sabri berkata sebanyak 1,471 individu ditahan semalam kerana ingkar PKP, dengan 949 dikenakan kompaun, 503 individu direman dan 19 individu dijamin polis, manakala 51 individu dituduh di mahkamah.

Mengenai pusat kuarantin, katanya setakat ini sebanyak 174 pusat telah beroperasi dan sebanyak 13,575 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, termasuk seramai 390 yang pulang ke tanah air, semalam.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 114 operasi sanitasi dilakukan meliputi 43 zon di 12 negeri, termasuk 33 kawasan di Johor dan 19 kawasan di Pahang diadakan semalam. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.