Pahang Tangguh Kebenaran Operasi Kedai Gunting Rambut, Cermin Mata- Wan Rosdy

KUANTAN, 13 April – Kerajaan negeri Pahang memutuskan untuk menangguhkan kebenaran operasi perniagaan kedai gunting rambut dan cermin mata sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu berdasarkan kepada nasihat dan pandangan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“… kita membuat keputusan menangguhkan kebenaran premis ini beroperasi sehingga masa yang sesuai demi keselamatan rakyat Pahang,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, kedai gunting rambut dan cermin mata termasuk dalam senarai sektor ekonomi yang diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai boleh membuat permohonan untuk beroperasi dalam tempoh PKP.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham menyarankan supaya kerajaan menangguhkan sementara operasi kedai gunting rambut dan menasihatkan supaya tindakan dalam pelaksanaan PKP diperketatkan untuk fasa ketiga.

PKP yang dikuatkuasa mulai 18 Mac lepas bagi membendung penularan wabak COVID-19 akan memasuki fasa ketiga mulai 15 April sehingga 28 April ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.