Sebar Berita Palsu COVID-19: Polis Rakam Keterangan Ahli Parlimen Kuantan

KUALA LUMPUR, 12 April – Polis sudah mengambil keterangan Ahli Parlimen Kuantan Jumaat lepas bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kebanjiran warga Malaysia yang pulang dari Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata catatan bersama sebuah rakaman video berhubung dakwaan itu dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook menggunakan nama ‘Fuziah Salleh’.

Menurutnya, Imigresen Johor turut menafikan dakwaan itu dan membuat laporan polis.

“Gajet (peralatan) digunakan untuk memuat naik kenyataan berkenaan dirampas dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan masing-masing kerana fitnah dan mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Sementara itu, seorang wanita berumur 48 tahun ditahan semalam kerana dipercayai memuat naik dua kenyataan (catatan) menerusi akaun Facebooknya ‘Wendy Shoo Wai Ching’, yang berunsurkan hasutan serta boleh menggugat keamanan negara.

Huzir berkata, pihaknya turut merampas gajet yang digunakan suspek untuk memuat naik kenyataan itu bagi membantu siasatan.

Siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan masing-masing kerana kecenderungan menghasut dan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Siasatan masih diteruskan dan hasil siasatan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai untuk tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan sebarang kenyataan, khabar angin termasuk berita yang mempunyai kecenderungan menghasut serta boleh mendatangkan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan serta mengganggu-gugat ketenteraman dan keselamatan awam.

“Polis juga tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang sengaja mencuba melakukan pecah keamanan dan tindakan tegas akan diambil bagi mengheret pesalah ke muka pengadilan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.