Operasi Kedai Gunting Tertakluk Kelulusan MITI – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 12 April – Operasi kedai gunting rambut dan salon semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga bermula 15 April ini, adalah tertakluk kepada kelulusan permohonan dan dicadang di kawasan zon hijau sahaja.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan meneliti dahulu permohonan daripada sektor perkhidmatan terbabit sebelum ia dibenarkan beroperasi.

“Apa yang kami dimaklumkan oleh MITI bahawa bukan bermakna apabila diumumkan, automatik akan dilaksanakan.

“Saya difahamkan ada proses permohonan dan sama ada permohonan diterima atau ditolak, keputusannya akan dibuat oleh MITI, lebih-lebih lagi cadangannya adalah di kawasan (zon) hijau sahaja, bukan di kawasan merah dan sebagainya,” katanya selepas mesyuarat khas menteri-menteri berkenaan pelaksanaan PKP di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya sama ada kerajaan akan menarik balik kebenaran operasi kedai gunting rambut ekoran reaksi orang ramai selain pengusaha kedai itu sendiri yang menolak untuk beroperasi berikutan sukar melakukan jarakan sosial.

Ismail Sabri menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) dan butiran terperinci mengenai perkara itu akan dikeluarkan oleh pihak MITI.

“Setakat ini, kerajaan menerima pandangan daripada rakyat dan MITI akan meneliti dan memperhalusi setiap pandangan yang diberikan oleh rakyat,” tegasnya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pelanjutan PKP fasa ketiga pada Jumaat lalu berkata beberapa sektor perkhidmatan akan dibenarkan beroperasi selepas ini.

Susulan pengumuman Perdana Menteri, MITI mengeluarkan senarai tujuh sektor perkhidmatan yang dibenarkan operasi antaranya kedai gunting rambut dan kedai cermin mata. – BERNAMA