TM Berjaya Pulih Kapasiti Trafik Antarabangsa Lebih Awal

KUALA LUMPUR, 11 April – Telekom Malaysia Berhad (TM) telah berjaya memulihkan kapasiti trafik antarabangsa yang terjejas akibat kerosakan kabel dasar laut Asia Pacific Cable Network 2 (APCN2) pada tempoh lebih awal daripada sasaran iaitu pada 20 April, 2020.

Menerusi kenyataannya hari ini, TM turut memaklumkan kejayaan syarikat itu mengalihkan dan mengoptimumkan sepenuhnya trafik menerusi laluan sambungan alternatif antarabangsa.

“Usaha penyelarasan rangkaian itu masih diteruskan dan kami akan terus memantau prestasinya bersama rakan konsortium di negara lain.

“Kami ingin menyatakan sekali lagi bahawa impak kepada pelanggan adalah minimum berikutan langkah proaktif mengalihkan trafik ke laluan alternatif manakala langkah-langkah lain telah diambil serta kerja-kerja baik pulih oleh rakan konsortium kini sedang dilakukan,” kata kenyataan itu.

Menurut TM, sambungan data ke lokasi dan pelayan yang dihoskan di Hong Kong dan Amerika Syarikat juga telah dioptimumkan sepenuhnya untuk kemudahan para pelanggannya.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan dan mengucapkan terima kasih kepada semua kerana bersabar sepanjang tempoh (gangguan) tersebut. Kami akan terus memantau perkembangan terkini dan menyesuaikan perkhidmatan untuk membantu para pelanggan,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengguna internet di negara ini berdepan gangguan minimum susulan kerosakan kabel dasar laut APCN2.

Kabel APCN2 yang menghubungkan Malaysia ke Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat juga merupakan antara 14 sistem kabel dasar laut yang disertai oleh TM di seluruh dunia. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.