Tinjauan Khas Impak COVID-19 Terhadap Ekonomi Perniagaan, Individu

PUTRAJAYA, 11 April – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang menjalankan dua survei atau tinjauan khas secara dalam talian iaitu Kesan COVID-19 Kepada Ekonomi dan Syarikat/Firma Perniagaan (Pusingan 1) dan Kesan COVID-19 Kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2) yang bermula semalam hingga 24 April ini.

Menurut kenyataan DOSM hari ini, usaha itu bertujuan melihat impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan inisiatif kerajaan dalam mengimbangi kelangsungan ekonomi negara susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam untuk melanjutkan tempoh PKP sehingga 28 April.

Dapatan tinjauan itu digunakan sebagai input untuk kerajaan mengukur kesan COVID-19 kepada ekonomi, individu dan perniagaan di Malaysia dan seterusnya digunakan untuk menyokong pihak berwajib dalam memberi gambaran mengenai situasi semasa.

Tinjauan Kesan COVID-19 Kepada Ekonomi dan Syarikat/Firma Perniagaan (Pusingan 1) itu mengandungi 33 soalan berbentuk pandangan kualitatif dan terbuka kepada semua syarikat dan firma perniagaan di Malaysia.

Tinjauan pusingan kedua itu merupakan kesinambungan tinjauan khas Kesan COVID-19 Kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 1) pada 23 hingga 31 Mac lepas yang disertai kira-kira 168,000 responden.

Pusingan kedua itu mengandungi 36 soalan dalam empat modul iaitu masing-masing modul umum dengan 24 soalan, modul pekerjaan (tujuh soalan), modul perbelanjaan (dua soalan) dan modul pendidikan (tiga soalan).

“Usaha tinjauan khas pusingan kedua ini terbuka kepada semua penduduk Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas,” katanya.

Menurut jabatan itu, maklumat dikumpulkan menerusi dua tinjauan tersebut tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) yang mana maklumat yang diterima adalah sulit dan hanya digunakan bagi tujuan perangkaan.

Survei Khas Kesan COVID-19 Kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2) itu boleh disertai melalui pautan https://bit.ly/SurveiCOVID19DOSMpusingan2, kod QR atau laman media sosial DOSM (@StatsMalaysia).

Selain itu, tinjauan Kesan COVID-19 Kepada Ekonomi dan Syarikat/ Firma Perniagaan (Pusingan 1) pula boleh disertai melalui pautan https://bit.ly/SurveiCOVID19DOSMsyarikat, kod QR laman media sosial DOSM (@StatsMalaysia). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.