Tindakan Tegas Terhadap Portal Berita Buat Laporan Mengelirukan – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 11 April – Tindakan tegas akan diambil terhadap portal berita atau media dalam talian yang melaporkan berita mengelirukan dan tidak tepat mengenai kenyataan kerajaan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sejak kebelakangan ini, terdapat banyak berita dilaporkan secara tidak tepat dan sahih terutama yang melibatkan kenyataan rasmi kerajaan.

Menurutnya kerajaan memandangkan serius perkara itu kerana berita yang tidak tepat mampu mengelirukan dan menimbulkan keresahan dalam kalangan orang ramai.

“Kita akan ambil tindakan tegas terhadap portal berita yang melaporkan berita mengelirukan dan tidak tepat ini.

“Jadi saya berharap agar portal berita ini lebih beretika dalam melaporkan sebarang berita,” katanya pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata mesyuarat hari ini juga bersetuju supaya pihak Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sentiasa memantau kandungan berita serta mengambil tindakan tegas bagi kesalahan itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.