PKP: MITI Akan Teliti Operasi Kedai Gunting Rambut

PUTRAJAYA, 11 April – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan meneliti semua pandangan rakyat mengenai langkah membenarkan kedai gunting rambut beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga bermula 15 April ini.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semua pandangan rakyat mengenai perkara itu akan diperhalusi.

“Betul, semalam macam-macam berita yang keluar dalam media sosial malah dalam kumpulan WhatsApp turut membincangkan perkara yang sama.

“Saya percaya dan dimaklum MITI akan teliti semua pandangan ini,” kata Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri berkenaan pelaksanaan PKP di bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perlanjutan PKP fasa dua Jumaat berkata beberapa sektor perkhidmatan akan dibenarkan operasi selepas ini.

Susulan pengumuman Perdana Menteri, MITI mengeluarkan senarai tujuh sektor perkhidmatan yang dibenarkan operasi antaranya kedai gunting rambut dan kedai cermin mata.

Pengumuman itu menimbulkan perbincangan hangat dalam media sosial ekoran kebimbangan orang ramai mengenai wujud kluster baharu jangkitan COVID-19 di Malaysia di kedai gunting rambut.

Pengguna media sosial turut berkongsi berita mengenai seorang tukang gunting rambut di Amerika Syarikat yang mati kerana dijangkiti COVID-19.

Sementara di Fukuoka, Jepun terdapat laporan ada kes kluster jangkitan COVID-19 di wilayah itu yang disyaki berpunca dari sebuah salon dandanan rambut. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.