COVID-19: Senarai Berita Palsu Tular Setakat 3 Petang, 11 April – KKMM

KUALA LUMPUR, 11 April – Berikut senarai penafian berita tular dalam media sosial oleh agensi yang bertanggungjawab melalui kenyataan media Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) petang ini.

1. Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan dakwaan bahawa masyarakat Orang Asli dipinggirkan dan tidak diberikan sebarang bantuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengagihkan Bantuan Bakul Makanan kepada masyarakat Orang Asli sejak PKP dikuatkuasakan.

2. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan dakwaan anggotanya memakai helmet balistik bagi melindungi diri daripada air kencing yang dibaling warga asing semasa bertugas di kawasan bangunan Selangor Mansion dan menjelaskan bahawa anggota ATM memakai helmet balistik di semua kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

3. Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan pernah melantik mana-mana individu atau pihak ketiga untuk menguruskan transaksi akaun TH melalui telefon.

4. Kementerian Wilayah Persekutuan menafikan dakwaan bahawa pihaknya pernah mengeluarkan hebahan kepada penduduk Putra Damai Blok F dan Blok G, Putrajaya, yang memerlukan bantuan asas agar mendapatkannya di Bahagian Komuniti Perbadanan Putrajaya (PPj). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.