COVID 19: Individu Kembali Dari Luar Negara Enggan Beri Kerjasama Boleh Dipenjara

PUTRAJAYA, 11 April – Individu yang kembali dari luar negara dan enggan memberikan kerjasama kepada petugas barisan hadapan termasuk petugas kesihatan boleh dikenakan tindakan tegas termasuk hukuman penjara dan denda kerana menghalang penjawat awam untuk melakukan tugas.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

“Menghalang tugas penjawat awam bukan sahaja melibatkan tugas pegawai polis, tetapi sesiapa sahaja penjawat awam yang terlibat dalam operasi memutuskan rangkaian penyakit COVID-19, termasuk petugas kesihatan, jururawat dan doktor.

“Jadi mesyuarat hari ini memutuskan untuk mengenakan tindakan tegas kepada mereka mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang isu yang disuarakan oleh seorang doktor sebelum ini berkenaan sikap sesetengah rakyat yang kembali dari luar negara yang bukan sahaja enggan memberikan kerjasama kepada petugas kesihatan tetapi juga mengeji dan mencaci mereka.

Luahan doktor berkenaan mendapat perhatian netizen yang mengecam tindakan itu dan menggelarkan mereka dengan ‘kluster kayangan’.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata sehingga Khamis lalu, sebanyak 156 Pusat Kuarantin telah beroperasi berbanding 146 pada hari sebelumnya, dengan 11,445 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

Semalam seramai 386 lagi rakyat Malaysia pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib.

Katanya kerajaan sentiasa mendengar rintihan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara dan memantau keadaan mereka melalui kedutaan Malaysia di luar negara seperti di India, Sri Lanka, Mesir, Arab Saudi dan Turki.

“Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) sedang berusaha untuk membawa mereka yang terkandas pulang ke tanah air.

“Setakat ini, 80 rakyat Malaysia telah pulang dari Arab Saudi dengan kerjasama dan sumbangan Kerajaan Arab Saudi. Juga 285 rakyat Malaysia telah selamat tiba dari Mesir dan 81 rakyat Malaysia dijadualkan tiba dari India dan Sri Lanka pada 14 April depan.

“Seramai 355 rakyat Malaysia yang berada di Algeria dan Tunisia juga akan diterbangkan ke Malaysia dengan kos ditanggung oleh syarikat Japan Oil Corporation,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.