COVID-19: 184 Kes Baharu Dengan Tiga Kematian – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 11 April – Sebanyak 184 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini meningkat kepada 4,530, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata terdapat pertambahan tiga lagi kes kematian akibat pandemik itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 ketika ini sebanyak 73 atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Jelasnya, bagi kematian ke-71 (kes ke-3091) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan gout.

“Beliau mempunyai kontak rapat kes positif COVID-19 dari kluster perhimpunan Sri Petaling (iaitu kes ke-452). Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 1 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada hari ini, pukul 12.05 tengah hari,” katanya.

Bercakap pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, Dr Noor Hisham berkata kes kematian ke-72 (kes ke-537) pula adalah lelaki tempatan berumur 71 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

“Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 15 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia hari ini pukul 11.15 pagi.

“Kematian ke-73 (kes ke-2399) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau telah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak pada 25 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia 12.00 tengah hari tadi,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat 165 kes pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 1,995 kes atau 44.04 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, sehingga kini 72 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 38 daripada jumlah itu memerlukan bantuan pernafasan.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah sebanyak 2,462 kes.

“Mereka (kes aktif) telah diasingkan dan diberi rawatan. Mengikut trajektori unjuran KKM, pada 14 April atau apabila tamatnya fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), unjuran kes positif dengan kebolehjangkitan adalah dijangka lebih kurang 2,033 kes.

“Ini tanda-tanda kejayaan PKP fasa pertama dan fasa kedua menurunkan kebolehjangkitan COVID-19 dalam komuniti,” tambahnya.

Justeru, orang ramai harus terus membantu kerajaan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dengan kekal di rumah, mengamalkan jarak selamat sekurang-kurangnya satu meter dan kerap mencuci tangan, katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.