PKP: Sambung Atau Tidak ‘Mindset’ Tidak Boleh Berubah Iaitu Putuskan Rantaian COVID-19

KUALA LUMPUR, 10 April – Pergerakan Pemuda UMNO Johor berpandangan, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disambung ataupun tidak, rakyat tidak boleh mengubah ‘mindset’ iaitu membantu kerajaan memutuskan rantaian COVID-19.

Jelas ketuanya Johor Mohd Hairi Mad Shah, jika PKP disambung, proses pengawalan wabak diteruskan seperti biasa dan bagi kawasan yang dalam zon merah pasti lebih ketat kawalan.

“Jika tidak sambung PKP, proses pengawalan tetap perlu dijalankan kerana rantaian wabak yang boleh membawa maut ini masih belum lagi berakhir.

“Jadi, rakyat masih tidak lagi boleh bebas malah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini memaklumkan, sekiranya PKP ditamatkan, rakyat masih tidak dibenarkan untuk mengadakan sebarang perhimpunan melibatkan ramai orang serentak dalam satu masa.

“Terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh rakyat bagi mengelakkan penularan COVID-19 di negara ini sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya,” ujar beliau kepada UMNO- Online.

Justeru, rakyat tidak boleh ambil mudah penularan wabak COVID-19 ini kerana ia bukan sesuatu hal yang boleh dipandang remeh.

“Lihat sahaja situasi di Itali yang mana lebih 17,000 kematian akibat wabak itu. Jadi, sama ada PKP sambung atau tidak, sedarlah bahawa rantaian COVID-19 masih belum berakhir dan rakyat terus berjaga-jaga dan apa yang penting membantu kerajaan memutuskan rantaiannya.

“Kejayaan memerangi wabak COVID-19 tidak akan berjaya jika hanya kerajaan sahaja yang bersungguh-sungguh melaksanakannya. Sebaliknya, peranan itu memerlukan penglibatan bersama seluruh rakyat di negara ini,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.