Jika PKP Dilanjutkan, Berikan Kelonggaran Kepada Peniaga Kecil – Fairuz

KUALA LUMPUR, 10 APRIL – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fairuz Edzuan Jamaludin mengharapkan agar kerajaan memberikan kelonggaran kepada peniaga-peniaga kecil sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan cukup bererti bagi peniaga-peniaga kecil dan secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi semasa PKP ini.

“Saya memohon supaya kerajaan memberi kelonggaran kepada peniaga-peniaga kecil seperti peniaga pasar malam, peniaga kaki lima, peniaga bermotosikal, peniaga buah-buahan dan seumpamanya untuk terus beroperasi.

“Dalam membenarkan keadaan ini, kerajaan perlu menetapkan satu garis panduan yang benar-benar berimpak untuk mengelakkan penularan COVID-19 dan dalam masa yang sama dapat membantu golongan ini terus menjana pendapatan. Jika restoran-restoran besar dibenarkan beroperasi, apa salahnya beri kelonggaran juga kepada peniaga kecil,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Fairuz yang juga Ketua Pemuda Penerangan UMNO Bahagian Ledang turut menjelaskan dalam masa yang sama peniaga-peniaga kecil juga perlu memikirkan alternatif lain dalam memaksimakan pendapatan jika diberi kelonggaran.

Tambahnya lagi, dalam skala mikro pula, semua golongan sama ada kaya, sederhana mahupun miskin akan merasa kesukarannya. Namun, yang membezakannya adalah yang kaya mungkin hanya akan terjejas manakala yang miskin akan terus lumpuh.

“Ingat, dalam setiap rezeki  pasti akan ada juga rezeki orang lain… sama-sama membantu sesama insan.

“Oleh itu, sekali lagi saya memohon untuk kerajaan pertimbangkan kelonggaran ini demi memastikan nasib golongan ini terbela. Jika saranan ini disambut baik kerajaan, kita sebagai rakyat jangan lupa untuk terus ‘support’ peniaga-peniaga kecil sebegini,” ujarnya.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.