Insan Hebat Bantu Negara Hadapi COVID-19 – PM Muhyiddin

PUTRAJAYA, 10 April – Malaysia dikelilingi insan-insan hebat yang sama-sama berjuang membantu negara dalam berhadapan wabak COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata golongan seperti petugas barisan hadapan dari segi kesihatan dan keselamatan, selain sektor penyediaan dan penghantaran makanan telah memainkan peranan murni menyemai amalan kekeluargaan antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama dan kaum di negara ini.

“Terima kasih kepada insan-insan yang bermurah hati membungkus makanan untuk dihantar kepada para petugas di barisan hadapan. Mereka buat secara percuma tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Anda adalah insan yang hebat.

“Begitu juga kepada anda yang bekerja menghantar makanan. Sama ada grab food, food panda atau lain-lain. Anda mengambil risiko. Orang lain duduk di rumah, anda keluar rumah untuk pastikan orang lain boleh makan.

“Anda melakukan satu pekerjaan yang mulia. Pesan saya, jaga kesihatan, jaga keselamatan, jangan bawa motor laju-laju. Anda juga insan yang hebat,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen, hari ini.

Muhyiddin berkata petugas barisan hadapan di hospital kerajaan dan swasta juga tidak terkecuali, yang sanggup mengambil risiko berkhidmat dengan cekal untuk menyelamatkan nyawa orang lain.

Perdana menteri dalam perutusan itu turut menghargai pengorbanan anggota keselamatan dan keamanan negara seperti polis dan tentera yang sanggup berpanas dan berhujan namun tetap menjalankan tugas yang diberikan.

“Juga kepada anggota Imigresen, Angkatan Pertahanan Awam, Bomba, RELA, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi yang turut membantu. Saya ucapkan terima kasih,” katanya.

Muhyiddin menyifatkan, keluarga besar ini perlu dijaga walau di mana sahaja mereka berada dalam memperlihat persaudaraan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.

“Pendek kata, kita ibarat sebuah keluarga besar. Kita saling bantu membantu ketika zaman susah. Kita jaga keluarga kita. Kita jaga jiran kita. Kita jaga masyarakat kita. Baik kita di kampung, di kawasan perumahan, di kondominium, di rumah flat. Kita jaga kita,” katanya.

Kerajaan Malaysia hari ini memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan bagi tempoh dua minggu lagi iaitu 15 hingga 28 April, dan keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada petugas kesihatan memerangi wabak COVID-19, selain mengelak penularan semula virus itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.