Penghuni Selangor Mansion, Malayan Mansion Dapat Makanan Percuma
KUALA LUMPUR, 9 April – Kementerian Wilayah Persekutuan akan membekalkan makan tengah hari dan malam secara percuma kepada 1,850 penghuni Selangor Mansion dan Malayan Mansion, Jalan Masjid India, di sini, yang diletak di bawah Perintan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata berdasarkan siasatan dan bancian penduduk ke atas kedua-dua apartmen tersebut oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati kebanyakan unit rumah, yang majoritinya dihuni oleh warga asing, tidak mempunyai dapur.
“Siasatan mendapati ramai penghuni tidak memasak, ruang dapur digunakan sebagai tempat tinggal dan kebanyakannya bergantung kepada makanan yang dibeli dari luar.
“Kebanyakan penghuninya merupakan warga Bangladesh, Pakistan dan India, meskipun mereka bukan warganegara namun isu soal makanan itu perlu diselesaikan dan kita tidak mahu melihat mereka kesusahan,” katanya ketika siaran langsung Facebook, hari ini.
Sementara itu, Annuar berkata beberapa projek pembangunan dan pembinaan seperti kerja pembinaan terowong projek Transit Aliran Massa (MRT) dan projek pembinaan jejambat merentangi lebuh raya di sekitar ibu kota terpaksa diteruskan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atas dasar keselamatan.
“Oleh kerana ada warga kota yang mengadu ada tapak pembinaan masih ada orang bekerja, saya ingin menjelaskan bahawa beberapa pengecualian dipersetujui bagi pembinaan yang dianggap kritikal terutamanya yang melibatkan kerja-kerja korek bawah tanah.
“Di tapak projek bawah tanah MRT misalnya, mereka telah mengorek terowong dan kerja-kerja itu tidak boleh diberhentikan kerana dikhuatiri akan berlaku mendapan dan runtuhan tanah.
“Bagi keselamatan, syarikat pembinaan mestilah memberi jaminan bahawa mereka perlu mematuhi 100 peratus garis panduan oleh DBKL, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,” katanya. – BERNAMA