MDES Terima Sumbangan 355,500 Penutup Hidung Dan Mulut – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 9 April – Kementerian Luar melalui Malaysia’s Diplomatic Equipment Stockpile (MDES) menerima sumbangan sebanyak 355,500 penutup hidung dan mulut serta sumbangan kewangan berjumlah RM250,000 setakat ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata bantuan yang disumbangkan pelbagai pihak itu bagi membantu barisan hadapan Wisma Putra mendepani penularan pandemik COVID-19.

“Selain peralatan perubatan serta wang ringgit, banyak pihak turut memberi kata-kata semangat, ucapan penghargaan dan ungkapan terima kasih kepada barisan hadapan Wisma Putra,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Satu majlis simbolik penyerahan sumbangan itu telah diadakan di Wisma Putra, Putrajaya dan disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi Hishammuddin tengah hari ini.

Beliau berkata MDES diwujudkan kerana Wisma Putra tidak mahu menambah beban kerajaan untuk mendapatkan kelengkapan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk diberikan kepada petugas barisan hadapan Wisma Putra.

“Ini kerana, Wisma Putra faham bahawa barisan hadapan Covid-19 di Malaysia khususnya petugas kesihatan, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lebih memerlukan serta perlu diberi keutamaan,” katanya.

Antara pihak yang telah memberi sumbangan penutup hidung dan mulut ialah Perfect China Co. Ltd (300,000 keping), The Weststar Group (30,000 keping), China Shipbuilding & Offshore International Co. Ltd (8,000 keping) dan Malaysia-Myanmar Business Commerce (7,500 keping).


Manakala pihak yang menyumbangkan bantuan kewangan ialah Roadcare (M) Sdn. Bhd sebanyak RM50,000, Tan Sri Francis Lau Tuang Guang (RM50,000) dan individu yang enggan dikenali (RM150,000).

Sebelum ini antara pihak terawal yang menyumbangkan bantuan kepada Wisma Putra melalui MDES ialah kerajaan China yang menyumbangkan 10,000 penutup hidung dan mulut pada 30 Mac lepas.

Hishammuddin berkata Wisma Putra telah mula mengagihkan dan menghantar penutup hidung dan mulut ini kepada perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara secara berperingkat sejak 2 April lepas.

Selain itu, katanya sebuah syarikat di Jepun iaitu JAGAM (Tokyo Chapter) and Jounan Shoji Co. Ltd turut menyumbangkan sejumlah penutup hidung dan mulut khusus untuk warga Wisma Putra yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Tokyo pada 2 April.

Dalam pada itu, Hishammuddin mengalu-alukan semua pihak untuk turut menyumbang bantuan melalui MDES selain menzahirkan penghargaan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada barisan hadapan Wisma Putra.

“Marilah kita sama-sama doakan, semoga usaha Wisma Putra melalui MDES ini dipermudahkan oleh Allah SWT. Dan semoga krisis Covid-19 yang melanda dunia ketika ini segera berakhir. Amin Ya Rabbal Alamin,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.