Ingkar PKP: 95 Notis Kompaun Dikeluarkan Semalam – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 9 April – Sebanyak 95 notis kompaun dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setakat semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata individu yang dikenakan kompaun perlu membuat bayaran RM1,000 di pejabat kesihatan daerah atau balai polis berdekatan.

“Mereka akan diberi tempoh selama dua minggu untuk bayar kompaun yang dikenakan,” katanya pada sidang media harian berkaitan perkembangan PKP di sini, hari ini.

Sebelum ini, PDRM memaklumkan pengeluaran kompaun kepada pesalah PKP itu yang bermula semalam akan dilaksana mengikut prosedur operasi standard ( SOP) yang ditetapkan.

Ismail Sabri berkata mereka yang gagal membayar kompaun dalam tempoh diberikan akan dihadapkan ke mahkamah.

Sementara itu, beliau berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri berkenaan PKP hari ini bersetuju dengan permohonan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membantu PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengadakan sekatan jalan raya di seluruh negara.

Katanya, sebanyak 769 sekatan jalan raya dijalankan di seluruh negara semalam, melibatkan pemeriksaan ke atas 433,988 kenderaan.

Ismail Sabri berkata polis turut menahan 300 individu semalam di sekatan jalan raya dan rondaan PDRM kerana melanggar PKP, menurun 34 peratus berbanding 454 tangkapan pada hari sebelumnya.

Katanya, kadar pematuhan arahan PKP setakat ini berada pada tahap 97 peratus.

Ismail Sabri turut memaklumkan 518 individu didakwa di mahkamah semalam dan jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac sehingga semalam adalah 7,205 individu.

Ditanya mengenai jumlah peningkatan kereta di jalan raya sejak beberapa hari lepas, beliau berharap ia bersifat sementara berikutan ramai yang mengunjungi bank bagi mengeluarkan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

“Saya mohon patuh pada jarak sosial walaupun beratur ambil duit…kita akan bincang dengan PDRM untuk pantau kawasan yang ada ramai orang secara serentak,” katanya.

Dalam pada itu mengenai operasi sanitasi yang dilaksanakan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lepas, beliau berkata sebanyak 954 operasi sanitasi di 81 zon termasuk 23 Zon Merah dan 16 Zon Jingga dilaksanakan setakat ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.