Perlis Berhasrat Capai 100 Peratus Patuh PKP – Azlan

KANGAR, 8 April – Perlis berhasrat menjadi negeri pertama mencapai kadar 100 peratus tahap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lepas sehingga 14 April ini.


Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata, ketika ini tahap pematuhan rakyat negeri Perlis adalah pada kadar 96 peratus, namun ianya bukan petanda bahawa semua pihak perlu selesa dengan keadaan itu.

“Jangan rasa selesa…kita masih ada empat peratus untuk kita capai 100 peratus. Kita semua masih tertakluk kepada tempoh PKP yang sedang berkuat kuasa sekarang. Taati peraturan untuk terus berada di rumah. Keluar hanya bila ada keperluan mendesak seperti membeli barangan keperluan.

“Sekiranya kadar 100 peratus ini boleh dicapai dalam masa terdekat, sudah tentu Perlis dan Malaysia secara keseluruhannya bebas daripada pandemik ini,” kata Azlan dalam satu sidang media ringkas di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima sumbangan 6,000 topeng penutup hidung dan mulut, dan 4,000 sarung tangan daripada Kerajaan China, yang disampaikan Pejabat Konsulat Jeneral China di Pulau Pinang yang diwakili Konsul Jeneral Lu Shiwei yang diterbangkan khas dari Guangzhou, China.

Azlan menjelaskan penerimaan penutup hidung dan mulut dan sarung tangan itu, akan diagihkan kepada petugas barisan hadapan dan orang awam yang memerlukan di negeri ini, sebagai membendung penularan wabak COVID-19.

Dalam majlis ringkas itu juga, Kerajaan Perlis turut menerima sumbangan 500 botol cecair pembasmi kuman yang disampaikan oleh seorang usahawan anak jati Perlis Norhayati Hashim, yang bernilai kira-kira RM7,000.

Dalam perkembangan lain, Azlan meminta rakyat di negeri ini yang terlepas daripada menerima sumbangan bekalan keperluan makanan, untuk terus menghubungi setiap pejabat ADUN di kawasan masing-masing.

Beliau berkata setiap ADUN harus mengenal pasti setiap individu yang layak, maksudnya tidak berkemampuan daripada segi kewangan, sepanjang tempoh PKP berjalan untuk menerima sumbangan yang telah diagihkan oleh kerajaan.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.