Pemuda UMNO Kemuka Lima Alasan Agar Kerajaan Pertimbang Kembali Keputusan LPPSA- Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 8 April – Pemuda UMNO hari ini memberikan lima alasan untuk kerajaan mempertimbangkan kembali keputusan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) berhubung keputusan ketiadaan moratorium terhadap pembayaran balik ansuran bulanan pembiayaan perumahan bagi sektor awam.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya sedikit terkilan dengan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh LPPSA dengan alasan kakitangan awam menerima gaji penuh dan pencen.

Menurut beliau apabila kerajaan dapat meyakinkan institusi-institusi Perbankan tempatan untuk memberikan moratorium kepada pelanggan atau peminjam dikalangan orang awam selama 6 bulan, adalah wajar juga untuk LPPSA mempertimbangkan untuk melakukan tindakan sama kepada 1.7 juta kakitangan awam.

“Dengan unjuran KDNK yang dijangka negatif oleh IMF dan Bank Dunia, tindakan yang paling efektif untuk merangsang semula ekonomi negara tatkala dilanda krisis Covid-19 ini ialah dengan merancakkan kembali kitaran wang iaitu dengan cara membolehkan rakyat mempunyai lebihan tunai di tangan untuk berbelanja (disposable income). Ini yang diamalkan oleh banyak negara Eropah ketika ini.

“Jika LPPSA mengatakan RM5 bilion kena tanggung untuk menampung 3-6 bulan moratorium yang diberikan, sebenarnya nilai yang sama juga kita boleh andaikan berada dalam tangan rakyat dikalangan penjawat awam untuk berbelanja,” katanya menerusi catatan di facebook.

Kata beliau lagi mengambil kira kebanyakan penjawat awam yang mengambil pinjaman LPPSA ini adalah dari kalangan M40 dan B40, dari segi teori ekononi, golongan M40 biasanya tidak menyimpan tetapi sebaliknya berbelanja dan ini penting supaya kitaran tunai dapat kembali dirancakkan untuk merangsang ekonomi.

Tambahnya maklumbalas yang Pemuda UMNO perolehi daripada ruangan media sosial dan mesej-mesej peribadi (PM), ramai juga dikalangan penjawat awam yang terkesan.

“Ini kerana sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebanyakan mereka ada yang melakukan kerja tambahan untuk memperoleh pendapatan tambahan bagi menampung kos sara hidup keluarga. Dengan perlaksanaan PKP, pendapatan mereka terjejas. Malah ramai pasangan masing-masing juga tidak dapat bekerja atau tidak dapat mencari rezeki tambahan akibat covid19 dan PKP ini.

“Justeru sekali lagi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memohon jasa baik Tan Sri Perdana Menteri dan Kerajaan untuk kembali menilai keputusan yang dibuat sekaligus menyantuni hasrat rakyat di kalangan penjawat awam yang banyak jasanya kepada negara,” katanya.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.