PahangMart Ganti Bazar Ramadan Tahun Ini – Wan Rosdy

KUANTAN, 8 April- Kerajaan negeri Pahang akan melancarkan portal PahangMart sebagai pengganti kepada penganjuran bazar Ramadan tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata portal itu merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk membantu peniaga mencari rezeki memandangkan penganjuran bazar Ramadan tahun ini tidak dibenarkan di seluruh Pahang bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Katanya, PahangMart akan dibangunkan oleh pihak pengurusan aplikasi digital PahangGo, yang akan memaparkan juadah Ramadan dan senarai serta produk jualan pasar raya yang beroperasi di seluruh negeri.

“Inisiatif ini bukan hanya membantu pengguna membuat pesanan makanan terhadap juadah berbuka atau membeli barang keperluan lain, tetapi juga membantu peniaga dan penjaja kecil untuk terus berniaga dalam tempoh yang sukar akibat COVID-19.

“PahangMart juga menyediakan perkhidmatan penghantaran dan mereka yang berminat mendaftar sebagai ‘runner’ (penghantar barangan dan makanan) boleh menghubungi PahangGo di laman sosial mereka untuk maklumat lanjut,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata untuk rekod, pada tahun lepas, seramai 4,639 peniaga mengambil bahagian dalam penganjuran 94 lokasi bazar Ramadan di seluruh Pahang.

Keputusan tidak membenarkan bazar beroperasi tahun ini, menurut Wan Rosdy selari dengan saranan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah supaya tiada perhimpunan dalam tempoh enam bulan hingga setahun, walaupun jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijadualkan tamat pada 14 April ini tidak dilanjutkan.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan kerajaan bahawa bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi sehingga tempoh PKP berakhir sepenuhnya.

Beberapa negeri seperti Kedah, Melaka, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini, turut mengumumkan pembatalan operasi bazar Ramadan, bermula pada hari pertama umat Islam berpuasa yang dijadualkan pada 24 April ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.