Kerajaan Cuba Beri Yang Terbaik Untuk Rakyat Yang Dikuarantin – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 8 April – Kerajaan berusaha memberikan kemudahan yang terbaik untuk setiap rakyat negara ini yang ditempatkan di pusat kuarantin bagi memastikan kebajikan mereka terjaga semasa menjalani tempoh itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia temasuk menempatkan mereka di pusat kuarantin yang selesa selain memastikan makan minum sentiasa terjaga.

“Walaupun mereka dikuarantin, itu bukan pilihan kerana kalau boleh semua ingin tinggal di rumah masing-masing, namun disebabkan ini prosedur, mereka terpaksa menjalaninya, sebab itu kerajaan cuba berikan tempat yang terbaik.

“Saya percaya setiap orang boleh membezakan antara pusat kuarantin negara kita dengan negara luar. Kita sendiri dapat melihatnya di media sosial, di pusat kuarantin sesetengah negara, ada yang terpaksa tidur di lantai, berkumpul dan berhimpit dalam jumlah yang ramai.

“Sukar mendapat makanan dan terpaksa beli di luar, namun kita, ada yang ditempatkan di hotel dan makanan juga disediakan,” katanya pada sidang media harian di sini, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata beberapa isu yang tular sebelum ini berkenaan pusat kuarantin yang tidak selesa termasuk di Johor Bahru semalam, juga telah diselesaikan dan mereka telah dibawa ke hotel yang diwartakan untuk menjalani tempoh kuarantin.

Sehingga semalam, katanya sebanyak 127 pusat kuarantin termasuk 12 hotel telah beroperasi dengan 8,153 orang sedang menjalani proses kuarantin wajib.

Menyentuh tentang isu pusat kuarantin bertaraf empat dan lima bintang yang masih ditimbulkan, beliau sekali lagi menegaskan kerajaan hanya memperuntukkan RM150 seorang setiap hari yang merangkumi kos penginapan, makan dan minum tiga kali sehari.

“Tentang isu kononnya hotel dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tiada kesepakatan dengan kadar yang ditetapkan menyebabkan timbul kegusaran dalam kalangan ahli keluarga mereka yang dikuarantin, kerana bimbang kena bayar, ini merupakan cerita tidak benar.

“Seperti yang telah saya maklumkan, semua hotel berkenaan telah berdaftar sebagai pusat kuarantin dan diwartakan, jadi kami telah capai persetujuan bahawa kadar penginapan berserta makan minum adalah RM150. Jadi tidak timbul soal caj tambahan dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya kerajaan juga dalam proses mewartakan sebanyak 67 lagi hotel sebagai pusat kuarantin dan hotel yang berminat untuk dipilih sebagai pusat kuarantin boleh menghubungi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.