Korban COVID-19 Di Seluruh Dunia Kini Melebihi 75,000

ANKARA, 7 April – Angka korban COVID-19 di seluruh dunia melebihi 75,945 pada Selasa, lapor agensi berita Anadolu memetik Johns Hopkins University.

Sejak pertama kali dikesan di Wuhan, China Disember lalu, virus COVID-19 sudah merebak ke sekurang-kurangnya 184 negara dan wilayah dengan hampir 1.4 juta kes.

Sementara lebih 289,000 pesakit sembuh.

Itali, Sepanyol dan Perancis kekal negara paling banyak mencatatkan kematian, manakala Amerika Syarikat (AS) mempunyai jumlah kes tertinggi iaitu lebih 368,000. Jumlah korban di AS kira-kira 11,000 orang.

Jumlah kes di Sepanyol dan Itali masing-masing melebihi 140,000 dan 132,000 kes. Angka korban di Itali pula seramai 16,523 orang diikuti Sepanyol 13,798.

Menghampiri 100,000 kes, Perancis negara ketiga mencatatkan jumlah korban paling ramai iaitu 8,911 orang.

China pula setakat ini melaporkan 3,335 kematian dan hampir 83,000 kes. – BERNAMA