Kerajaan Negeri Perak Umum Portfolio MB, Tujuh Exco Negeri

IPOH, 7 April – Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini mengumumkan portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), dengan beliau sendiri memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Integrasi Nasional.

Ahmad Faizal pada sidang media khas pengumuman itu di sini berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.

Sementara itu, portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat pula disandang ADUN Kampong Gajah Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin manakala Datuk Shahrul Zaman Yahya (Rungkup) yang kembali dilantik dalam pentadbiran kerajaan negeri memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor.

Katanya, dua ADUN PAS iaitu Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria (Gunung Semanggol) dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil, sementara Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan.

Dua ADUN Bersatu iaitu Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi (Tualang Sekah) yang kembali ke dalam pentadbiran kerajaan negeri dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan, manakala Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Kurau) pula Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Infrastruktur, Tenaga dan Air.

Ahmad Faizal berkata disebabkan tiga Exco belum dilantik, maka beliau akan memangku portfolio Kesihatan; Mohd Akmal memangku portfolio Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Nolee Ashilin memangku portfolio Komunikasi dan Multimedia manakala Shahrul Zaman pula memangku portfolio Belia dan Sukan.

Mengenai pelantikan tiga lagi Exco bagi melengkapkan 10 orang keseluruhannya, Ahmad Faizal berkata beberapa nama telah dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan menjangkakan pelantikan akan dibuat selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19 ditarik balik.

Tujuh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah mengangkat sumpah pada 31 Mac lepas di Istana Kinta di sini.

Ahmad Faizal pada 13 Mac telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-13 di hadapan Sultan Nazrin di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Sebelum itu, pada 10 Mac, Sultan Nazrin telah memberi perkenan peletakan jawatan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak ke-12.

Sehari sebelum itu, Ahmad Faizal mengumumkan Perikatan Nasional Perak terdiri daripada Barisan Nasional (BN) yang semuanya UMNO bersama PAS dan Bersatu berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mendapat sokongan 32 daripada 59 ADUN.

Komposisi terkini DUN Perak terdiri daripada BN (25); DAP (16); Amanah (lima); Bersatu (empat); dan masing-masing tiga daripada PKR, PAS dan Bebas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.