Kerajaan Akan Teruskan Amalan Kewangan Berhemat Dan Disiplin Fiskal

KUALA LUMPUR, 6 April – Kerajaan akan meneruskan amalan kewangan berhemat dan disiplin fiskal yang tinggi demi memastikan keadaan kewangan negara terus kukuh dan terkawal, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“InsyaAllah, apabila Parlimen bersidang nanti, kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan untuk semua pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan,” katanya semasa mengumumkan Pakej Prihatin PKS (Tambahan) berjumlah RM10 bilion hari ini.

“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa telus dalam berbelanja dan semua tindakan yang diambil adalah berasaskan kepada peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dengan pengumuman ini, keseluruhan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat untuk menangani impak COVID-19 berjumlah RM260 bilion.

Defisit fiskal kerajaan dijangka sebanyak 4 peratus pada 2020 berbanding 3.2 peratus yang disasarkan sebelum ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.