Kelulusan Kilang Arak Beroperasi Dibatalkan – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 6 April – Kelulusan bagi membenarkan dua kilang arak beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibatalkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

“Kami telah buat keputusan bahawa kelulusan yang diberikan itu adalah terbatal atau dibatalkan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengeluarkan surat pembatalan serta-merta.

“…jadi tidak timbul isu tentang kilang Heineken dan Carlsberg beroperasi,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial sepucuk surat yang didakwa dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi kebenaran kepada sebuah syarikat minuman keras beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Surat bertarikh 31 Mac itu menyatakan pihak kementerian mendapati permohonan daripada syarikat tersebut memenuhi kriteria yang ditetapkan kerana dikategorikan dalam operasi sektor pembekalan makanan di bawah PKP.

Perkara itu dipertikaikan banyak pihak berikutan kelulusan itu dikatakan bercanggah dengan matlamat kerajaan melaksanakan PKP yang hanya membenarkan operasi yang berkaitan perkhidmatan perlu sahaja untuk beroperasi, sedangkan minuman keras bukan makanan penting dalam tempoh PKP ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.