Jumlah Tangkapan Ingkar PKP Meningkat 51 Peratus – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 6 April – Jumlah individu yang ditahan kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara meningkat sebanyak 51 peratus kepada 554 orang semalam berbanding 368 orang pada Sabtu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peningkatan angka itu mungkin kerana ramai yang mengambil kesempatan keluar (rumah) sempena hari minggu.

“Sebelum ini, saya merasa bangga kerana peratusan tangkapan berkurangan selama empat hari berturut-turut.

“Saya harap tuan puan cutilah setiap hari, bukan pada hari minggu sahaja. Janganlah ambil kesempatan di hari minggu untuk keluar beramai-ramai,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Khas Kabinet di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihak polis perlu melakukan pemeriksaan yang lebih tegas semasa PKP kerana laporan Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan peningkatan kes positif COVID-19 di negara ini.

Sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac hingga semalam, 6,048 individu telah ditahan kerana mengingkari perintah itu.

Ismail Sabri berkata daripada 554 orang yang ditahan semasa sekatan jalan raya dan rondaan pihak berkuasa semalam, 489 orang telah direman manakala 65 orang lagi dijamin.

Beliau berkata semalam, pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan 743 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 293,051 kenderaan.

“Pada masa sama, 25,818 pemeriksaan mengejut diadakan di seluruh negara dan 4,822 premis turut diperiksa oleh pihak berkuasa,” katanya.

Mengenai operasi penyahkuman di tempat awam, beliau berkata sehingga kini, 56 kawasan di sembilan negeri termasuk 27 di Johor dan enam di Sarawak telah melalui proses itu bagi membendung penyebaran wabak COVID-19.

Ops Sanitasi Awam yang dilaksanakan di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut merangkumi 113 kawasan awam seperti rumah ibadat, pasar awam, pasar raya dan kawasan perumahan.

“Turut dinyahkuman adalah 19 bangunan kerajaan dan tiga Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang melibatkan 4,872 unit rumah.

“Sehingga semalam, Ops Sanitasi Awam telah dilaksanakan di tujuh PPR melibatkan 8,944 unit rumah. Kawasan yang dinyahkuman termasuk unit kediaman (luar dan dalam), surau, dewan serbaguna dan taman permainan,” kata Ismail Sabri. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.