COVID-19: Persiapan Operasi, Pengurusan Pelajar USIM Teratur – Noraini

NILAI, 4 April – Persiapan operasi COVID-19 yang dilaksanakan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta pengurusan kebajikan pelajar yang tidak pulang ke kampung susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amat teratur, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr. Noraini Ahmad.

Beliau berkata selain itu sumbangan kepakaran dan inovasi USIM dalam menyokong barisan hadapan melawan COVID-19 dengan menghasilkan cecair pembasmi kuman, pelindung muka dan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) walaupun ada kekangan mendapatkan bahan mentah, turut dihargai.

“Alhamdulillah saya tengok persiapan yang dibuat memang teratur dan saya juga telah diberikan taklimat mengenai pengendalian COVID-19 di dalam dan luar kampus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Waktu ini jugalah kita dapat lihat inovasi-inovasi yang lahir dari kalangan warga USIM sendiri,” katanya yang mengadakan lawatan ke USIM, di sini, semalam.

Semalam beliau telah dibawa melawat ke Bilik Gerakan Agensi (BGA) di Pusat Kesihatan Universiti sebelum diberikan taklimat mengenai perkembangan semasa pengurusan COVID-19 di peringkat universiti.

Noraini turut dibawa melawat Fakulti Sains dan Teknologi untuk melihat penghasilan cecair pembasmi kuman oleh Kumpulan ‘Faculty Science and Technology Laboratory in a Box (FaST LaB)’ dan Rumah Mizan USIM yang menjadi lokasi penghasilan pelindung muka menggunakan teknologi mesin cetakan tiga dimensi (3D).

USIM telah melaksanakan 30 inisiatif gerak balas bencana dalam mendepani COVID-19 bersama tiga inisiatif khas iaitu penghasilan cecair pembasmi kuman; pelindung muka dan PPE.

Pada masa ini, 979 orang pelajar masih berada di kampus dengan penempatan mereka sama ada di kolej kediaman atau menyewa di sekitar kampus, dan kebajikan dari segi makan minum serta kesihatan kumpulan pelajar ini dijaga dan dipantau USIM.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.