40,000 Boleh Ditempatkan Di 409 Pusat Kuarantin Seluruh Negara – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 4 April -Kira-kira 40,000 orang boleh ditempatkan di semua 409 pusat kuarantin COVID-19 yang digazetkan di seluruh negara jika kesemuanya beroperasi pada satu-satu masa, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan itu, setakat semalam, hanya 90 daripadanya beroperasi dengan menempatkan kira-kira 4,000 orang sejak 19 Mac.

“Cukup (tempat di pusat kuarantin), lebih dari mencukupi, sekarang baru 4,000 lebih yang dikuarantin sejak dari awal lagi …banyak lagi tempat kosong boleh digunakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata semalam sahaja, sebanyak 1,188 rakyat Malaysia telah dikuarantin di seluruh negara dengan 711 daripadanya adalah mereka yang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Bermula semalam, mereka yang pulang dari luar negara diwajibkan untuk dikuarantin selama 14 hari di pusat-pusat yang telah disediakan kerajaan.

Sementara khas untuk penduduk Sabah dan Sarawak yang pulang dari luar negara, Ismail Sabri semalam memaklumkan bahawa mereka akan dikuarantin di negeri masing-masing susulan polisi ditetapkan kerajaan kedua-dua negeri terbabit.

Bagaimanapun, hari ini, mengulas isu sama, Ismail Sabri berkata penduduk Sabah dan Sarawak yang perlu transit untuk tempoh yang lama di KLIA akan ditempatkan di pusat kuarantin berhampiran lapangan terbang itu terlebih dahulu.

“Mereka mungkin belum ada tiket penerbangan untuk pulang ke Sabah dan Sarawak atau mungkin penerbangan mereka tiga hingga empat hari selepas mereka tiba di KLIA.

“Mereka tentu sahaja perlu keluar dari lapangan terbang, oleh itu mereka juga akan dikuarantin di pusat-pusat kuarantin di Kuala Lumpur, Selangor atau pusat-pusat kuarantin berdekatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang membantu kerajaan menangani wabak COVID-19, antaranya syarikat telekomunikasi Celcom Axiata Bhd yang bersetuju menyumbangkan kad sim prabayar percuma kepada individu yang dikuarantin.

“Ia merangkumi data 1GB untuk internet dan panggilan menerusi aplikasi WhatsApp dan Skype serta 10GB untuk Facebook dan Instagram. Ini bagi memudahkan mereka berhubung dengan keluarga sepanjang tempoh kuarantin selama 14 hari,” katanya.

Ismail Sabri berkata Astro dan Unifi TV turut memberikan akses percuma untuk saluran berita dan hiburan sepanjang PKP dilaksanakan.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.