Bekalan Makanan, Hasil Pertanian Cukup Sepanjang Tempoh PKP- Ahmad Hamzah

MELAKA, 3 April – Rakyat tidak perlu khuatir atau risau tentang bekalan makanan dan hasil pertanian, kerana ia dijamin mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Katanya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha agar rantaian pemasaran bekalan makanan dan hasil pertanian negara tidak terputus atau terganggu, dengan memastikan lori penghantaran dapat menghantar barangan tersebut, pada masa yang ditetapkan.

“Kita telah mendapat kerjasama daripada pihak penguatkuasa, khususnya yang terlibat dalam sekatan jalan raya sepanjang PKP, untuk memberi laluan mudah pada lori penghantaran bekalan makanan, supaya bekalan ada di pasaran.

“Justeru tidak perlu bimbang dengan membuat pembelian panik atau membuat stok makanan di rumah,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Jualan Barangan Segar Terkawal, di Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli; Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Norhizam Hassan Baktee; dan Pengarah FAMA Melaka, Che Samudin Hassan.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan semua produk atau hasil pertanian, penternakan dan perikanan, khususnya daripada petani, penternak dan nelayan persendirian, akan terus dapat dipasarkan bagi mengelak sebarang lambakan, selain mempertingkat bekalan sedia ada.

Sementara itu Ahmad berkata, setakat ini sebanyak 47 daripada 97 pusat jualan barangan segar terkawal FAMA, telah dibuka di seluruh negara, bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan barangan dapur, pada harga berpatutan.

“Tahniah kepada FAMA sebagai satu daripada agensi yang menjadi penggerak pada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, dalam usaha kita memastikan bekalan makanan mencukupi khususnya dalam menghadapi wabak COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, pengunjung pusat jualan barangan segar terkawal itu, Mohd Asri Alimin, 33, berkata pendekatan medium jualan barangan keperluan asas itu, amat memudahkan kerana pemilihan barangan dibantu kakitangan FAMA sekali gus, menjimatkan masa pembelian.

“Mudah dan cepat…hanya perlu isi borang apa yang ingin dibeli dan tidak sampai 10 minit dah boleh balik ke rumah. Tidak perlu lama berada di luar, sekali gus mengurangkan risiko terdedah pada jangkitan wabak COVID-19,” kata pekerja sektor awam itu dari Ayer Keroh di sini.

Haslinah Rosli, 54, pula berkata, harga barangan yang dijual di pusat jualan itu adalah berpatutan dan segar, khususnya ikan dan ayam.

“Puas hati dengan bekalan yang ada…macam bawang besar susah nak dapat di pasar raya, tapi di sini semuanya ada,” kata suri rumah dari Durian Tunggal itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.