RM100 Juta Diperuntukkan Di Bawah Inisiatif Wilayah Cakna, Bantu Golongan Terkesan PKP

PUTRAJAYA, 2 April – Seramai 100,000 orang akan menerima bantuan dan manfaat di bawah Inisiatif Wilayah Cakna melibatkan peruntukan sebanyak RM100 juta, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata peruntukan tersebut termasuk pengagihan bantuan dalam bentuk makanan dan barangan, pengecualian bayaran sewa selama enam bulan, sumbangan tunai kepada golongan miskin bandar serta peniaga kecil dan penjaja.

“Sebelum ini, di bawah inisiatif Wilayah Cakna kita memperuntukkan lebih RM63 juta namun selepas pengumuman Bantuan Prihatin Nasional dibuat, kita selaraskan dan kini kita menanggung kira-kira RM100 juta untuk bantuan tersebut,” katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan barangan keperluan asas kepada wakil dari 200 penerima asnaf dan B40 di Putrajaya yang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), serta komuniti Putrajaya yang disahkan dijangkiti COVID-19.

Annuar berkata bagi bantuan tunai, agensi terlibat diminta mempermudah dan menyegerakan pemberian kepada golongan yang layak selewat-lewatnya 10 April ini.

Katanya bantuan tersebut termasuklah bantuan tunai dari Inisiatif Wilayah Cakna dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada golongan asnaf dan berpendapatan rendah serta bantuan ‘one-off’ RM500 kepada peniaga kecil dan penjaja.

“Walaupun jumlah bantuan yang diberikan tidak banyak tetapi bagi keluarga yang memerlukan ianya sangat mustahak,”  katanya.

Beliau berkata bagi penerima yang tidak mempunyai maklumat lengkap seperti maklumat akaun bank, pegawai terbabit akan pergi ke rumah bagi menyampaikan sumbangan.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.