Perlu Pandangan KKM Mengenai Bazar Ramadan – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 2 April – Keputusan sama ada bazar Ramadan akan diteruskan atau sebaliknya bergantung kepada pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan situasi semasa COVID-19 di negara ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau, yang juga Menteri Pertahanan, bagaimanapun berkata buat masa ini masih terlalu awal untuk membincangkan perkara itu.

“Tidak ada perbincangan formal lagi tentang perkara ini dan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri (Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan) pun masih belum membincangkannya,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di sini, hari ini.

Mengenai cadangan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk prosedur pengurusan bazar Ramadan dipertingkat bagi mengelak orang ramai bersesak di gerai-gerai jualan, Ismail Sabri berkata kerajaan akan melihat cadangan itu secara terperinci sama ada ia akan memberi kesan kepada masyarakat atau sebaliknya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sebarang aduan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh disalurkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) yang telah ditubuhkan di setiap daerah.

Beliau berkata, aduan juga boleh disalurkan kepada setiap kementerian berkaitan melalui talian hotline yang diumumkan sebelum ini.

“Kadang-kadang kita lihat ada individu yang membuat aduan secara selfie (swafoto), secara video di YouTube dan sebagainya. Saya berterima kasih kepada perhatian mereka tetapi kita mempunyai pusat tempat aduan dan seumpamanya,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan pula boleh menyalurkannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang juga termasuk dalam JKPBD.

“Semalam, JKM telah pun mengeluarkan peraturan bagi mereka yang berminat untuk menghantar barangan, antara yang saya dimaklumkan bahawa perlu berdaftar dengan pihak JKM, yang kedua mestilah jelas kepada siapa nak dihantar, senarainya perlu ada,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua NGO yang sangat prihatin kepada permasalahan yang timbul terutamanya melibatkan kebajikan rakyat. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.