COVID-19: 208 Kes Baharu Dan Lima Kematian

PUTRAJAYA, 2 April – Sebanyak 208 lagi kes positif COVID-19 dicatatkan sehingga 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,116 , manakala lima lagi kes kematian dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kematian akibat COVID-19 setakat ini adalah 50 kes, iaitu 1.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya sebanyak 105 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 54 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata kes kematian ke-46 (kes ke-2,909) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 37 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kronik dan rendah imuniti.

“Beliau telah dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 28 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 31 Mac 2020 jam 11.10 malam,” katanya.

Bagi kes kematian ke-47 (kes ke-2,910), ia melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 78 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan gout yang telah dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Johor pada 17 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 29 Mac pukul 7.10 malam.

Dr Noor Hisham berkata kes kematian ke-48 (kes ke-2,572) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

“Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 29 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 2 April 2020 pukul 8.01 pagi,” katanya.

Sementara itu kes kematian ke-49 (kes ke-1,273) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes ke-2,107.

“Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 1 April jam 8.36 malam,” kata Dr Noor Hisham.

Kes kematian ke-50 (kes ke-1,767) pula merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun. yang telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 22 Mac dan disahkan meninggal dunia hari ini, pada pukul 2.20 petang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.