Tengku Hassanal Berkenan Tidak Terima Elaun Diraja Enam Bulan

KUANTAN, 1 April – Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan tidak menerima bayaran Elaun Diraja selama enam bulan mulai April ini.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata Tengku Hassanal berkenan menitahkan supaya Elaun Diraja itu disumbangkan ke Tabung COVID-19 Pahang.

“Baginda berharap bantuan yang dicadangkan dan diluluskan dengan menggunakan Tabung COVID-19 Pahang dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan dengan segera,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Ahmad Khirrizal berkata Tengku Hassanal juga menitahkan supaya rakyat Pahang sentiasa menjaga kesihatan diri dan keluarga serta mematuhi arahan yang ditetapkan kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Baginda juga mendoakan pesakit COVID-19 di seluruh Malaysia khasnya di Pahang diberikan kesembuhan dengan segera dan semua petugas barisan hadapan diberikan kekuatan serta kesihatan yang baik untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka,” katanya.

Tindakan Tengku Hassanal itu mengikut langkah ayahanda dan bonda baginda, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja kepada Seri Paduka berdua selama enam bulan mulai Mac hingga Ogos.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin semalam, berkata perkenan oleh Seri Paduka berdua bertujuan membantu meringankan beban kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19, serta menyahut keputusan kerajaan memotong dua bulan gaji perdana menteri, menteri serta timbalan menteri dan disalurkan ke Tabung COVID-19.

Kerajaan Negeri Pahang melancarkan Tabung COVID-19 Pahang pada 23 Mac lalu, yang bertujuan membantu rakyat khususnya golongan yang terjejas pendapatan harian ekoran pelaksanaan PKP yang menyebabkan mereka tidak boleh keluar bekerja. – BERNAMA