Segala Tindakan ATM, PDRM Kuat Kuasa PKP Ikut SOP – Panglima ATM

KUALA LUMPUR, 1 April – Segala tindakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, kata Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata pihaknya tidak pernah mencederakan orang awam seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Saya kesal dengan tindakan segelintir rakyat yang mengambil kesempatan dengan mencemarkan nama ATM ketika negara dilanda penularan wabak COVID-19.

“Dalam media sosial, telah tular fitnah yang mengatakan orang awam telah didera atau ‘mishandle’ oleh anggota ATM dan ini adalah pembohongan kerana anggota saya menjalankan tugas mengikut SOP yang sedia ada,” katanya.

Affendi berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza City One, Jalan Munshi Abdullah di sini hari ini.

Semalam tular di media sosial beberapa keping gambar dan audio yang mendakwa seorang lelaki cedera dipukul oleh anggota ATM kerana mengingkari PKP.

Beliau berkata kejadian yang tular itu bukan berlaku di negara ini sebaliknya di Chittagong, Bangladesh pada tahun lepas.

Sementara itu, Affendi berkata susulan kerjasama erat ATM dan PDRM serta pelbagai agensi penguat kuasa PKP yang memasuki fasa kedua hari ini, beliau berharap pelaksanaannya akan lebih tegas dengan SOP baharu dalam membendung penularan wabak COVID-19 di Malaysia.

“Di Plaza City One ini, kami telah mengarahkan ‘complete lockdown’ dan penghuni kediaman tidak dibenarkan keluar sementara kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) membuat saringan COVID-19 dari rumah ke rumah.

“Selain itu, pagar kawat berduri telah dipasang mengelilingi premis ini untuk menghalang sebarang pergerakan,” katanya.

PKPD di premis itu dilaksanakan mulai 31 Mac hingga 13 April atas nasihat KKM susulan pengesahan 17 kes positif COVID-19 di kawasan tersebut setakat 30 Mac lepas. – BERNAMA