PKP: Hanya Boleh Keluar Rumah Dalam Radius Tidak Lebih 10 KM

KUALA LUMPUR, 1 April – Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 14 April menetapkan had perjalanan individu yang keluar rumah dalam tempoh itu bagi tujuan dibenarkan adalah dalam radius tidak melebihi 10 kilometer (km) dari kediaman.

Menurut peraturan itu, yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), individu tersebut juga tidak boleh disertai orang lain kecuali dengan alasan munasabah.

“Peraturan itu melibatkan arahan kawalan pergerakan iaitu tiada seorang pun boleh bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan atau dari satu kawasan tempatan jangkitan ke suatu kawasan tempatan jangkitan yang lain,” menurut peraturan itu.

Seseorang hanya boleh bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan atau dari satu kawasan tempatan jangkitan ke suatu kawasan tempatan jangkitan yang lain bagi tujuan tertentu.

Ia termasuk untuk membeli makanan, keperluan harian, ubat atau penokok diet; membekalkan atau menghantar makanan, keperluan harian, ubat atau penokok diet; mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan; melaksanakan apa-apa tugas rasmi atau melaksanakan apa-apa tugas berhubung dengan sebarang perkhidmatan perlu.

Menurut peraturan itu, jika seseorang bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain dalam kawasan tempatan jangkitan atau dari satu kawasan tempatan jangkitan ke suatu kawasan tempatan jangkitan lain bagi tujuan membeli makanan, keperluan harian, ubat atau penokok diet, pergerakannya hanya dalam radius yang tidak melebihi 10 km dari kediamannya, atau ke suatu tempat yang paling hampir dengan kediamannya, dan tidak boleh disertai orang lain, melainkan jika ada sebab munasabah.

Untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan pula, pergerakan boleh disertai orang lain, tetapi juga dalam radius yang tidak melebihi 10 km dari kediaman, atau ke suatu tempat yang paling hampir dengan kediamannya.

Bagi tujuan melaksanakan tugas rasmi, seseorang individu hendaklah mengemukakan surat kebenaran daripada majikannya jika dikehendaki oleh penguat kuasa dan untuk melaksanakan tugasnya berhubung dengan apa-apa perkhidmatan perlu, individu itu juga perlu mengemukakan surat kebenaran daripada majikannya jika dikehendaki.

Bagi mengawal pergerakan orang yang membeli makanan, peraturan itu menetapkan pemunya atau pengendali, atau orang yang bertanggungjawab bagi suatu perniagaan menjual makanan hendaklah menjalankan perniagaan hanya secara pandu lalu, bawa pulang atau penghantaran.

Peraturan itu turut menjelaskan bahawa untuk pergerakan kerana sebab khas dan tertentu yang menyaksikan seseorang perlu bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan atau dari satu kawasan tempatan jangkitan ke suatu kawasan tempatan jangkitan yang lain, orang itu hendaklah mendapatkan kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada pegawai polis di balai berhampiran.

Selain itu, dalam tempoh berkenaan tiada seorang pun boleh berhimpun atau terlibat dalam perhimpunan di dalam mana-mana premis sama ada bagi maksud keagamaan, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan, namun dibolehkan untuk upacara pengebumian dengan syarat orang yang hadir ke upacara itu hendaklah dalam bilangan yang minimum.

Peraturan itu turut menjelaskan mengenai perkhidmatan perlu yang meliputi 10 jenis iaitu makanan, air, tenaga, komunikasi dan Internet, keselamatan dan pertahanan, pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam dan pembetungan, penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet, perbankan dan kewangan, e-dagang serta logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu.

Bagi individu yang melanggar mana-mana peruntukan peraturan-peraturan itu, apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.