KPT Nafi Terlibat Sewa Pesawat Khas Bawa Pulang Penuntut Di Mesir


KUALA LUMPUR, 1 April – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini menafikan dakwaan yang tular di media sosial, berhubung penglibatan kerajaan dalam penyewaan pesawat khas untuk membawa pulang penuntut Malaysia di Mesir.

KPT dalam satu kenyataan menyatakan, dakwaan tersebut telah mencetuskan situasi panik dalam kalangan pelajar dan ibu-bapa.

“KPT telah berhubung dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah (KBMK) dan dimaklumkan bahawa, masih tiada keperluan untuk membawa pulang pelajar Malaysia buat masa ini.

“Sehubungan dengan itu, KPT tidak pernah melantik mana-mana pihak swasta sebagai wakil, bagi membawa pulang pelajar daripada Mesir dan menasihatkan para pelajar dan ibu bapa, untuk patuh kepada arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Mesir dan pihak universiti, berkaitan sebagai langkah membendung penularan COVID-19,” menurut kenyataan tersebut yang di muat naik di laman Facebook.

KPT dalam kenyataan itu meminta agar pelajar yang mengalami sebarang masalah, boleh melaporkannya kepada pihak KBMK atau pejabat Education Malaysia Mesir (EME).

KPT turut menasihatkan pelajar dan ibu bapa sentiasa memastikan sumber maklumat yang diterima seperti urusan evakuasi atau lain-lain urusan, perlu melalui pengumuman rasmi pihak Wisma Putra atau KBMK, bagi mengelakkan segala kesulitan pada masa hadapan.

Sebarang penjelasan lanjut bolehlah menghubungi talian; +20 111 333 0857 atau +20 106 042 9387. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.