Kira-Kira 510 Warga Gelandangan Diberi Tempat Berlindung – Datuk Bandar

KUALA LUMPUR, 1 April – Kira-kira 510 gelandangan diselamat dan ditempatkan di dua pusat transit dan empat pusat komuniti yang dijadikan penempatan sementara di sekitar ibu kota sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata selain Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang dan Anjung Singgah, Pusat Komuniti Sentul Perdana, Pusat Komuniti Setiawangsa, Dewan Serbaguna Alam Damai Cheras dan Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir turut dijadikan penempatan sementara gelandangan terbabit.

“Kami akan terus menjejaki dan menyelamatkan mereka di sekitar ibu kota dan ditempatkan sementara di pusat-pusat komuniti itu sepanjang PKP.

“Ada lagi yang masih menyorok,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Pusat Komuniti Sentul Perdana di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ditempatkan di penempatan sementara itu, warga gelandangan akan menjalani saringan kesihatan untuk memastikan mereka bebas dari COVID-19. Tiada kes positif dalam kalangan gelandangan dilaporkan setakad ini.

Menurut Datuk Bandar, penempatan sementara warga gelandangan itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu golongan sihat warganegara, gelandangan bermasalah sakit berjangkit, mental dan penagihan dadah serta bukan warganegara.

“Golongan sihat warganegara akan ditempatkan di Pusat Komuniti Sentul Perdana dan Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir masing-masing seramai 181 dan 62 orang, Pusat Komuniti Setiawangsa menempatkan 95 gelandangan bermasalah, manakala di Dewan Serbaguna Alam Damai Cheras pula untuk 30 orang bukan warganegara.

Nor Hisham berkata, 99 gelandangan lelaki ditempatkan di Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang manakala 43 gelandangan lelaki dan wanita termasuk tiga kanak-kanak di Anjung Singgah, kendalian Yayasan Kebajikan Negara.

Beliau berkata pihaknya turut menjalankan sistem data biometrik bagi setiap gelandangan yang ditempatkan bagi memudahkan pelbagai agensi menyalurkan bantuan atau sumbangan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan tiada lagi pengedaran makanan di Medan Tuanku bagi menjaga jarak sosial. – BERNAMA