JKNT Nafi Orang Ramai Pernah Berkunjung Ke Tujuh Lokasi Perlu Jalani Saringan COVID-19

KUALA TERENGGANU, 1 April – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu hari ini menafikan satu kenyataan yang tular di aplikasi WhatsApp kononnya orang ramai yang pernah berkunjung ke tujuh lokasi di negeri ini supaya datang ke hospital dan klinik berdekatan untuk menjalani saringan COVID-19.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Nor Azimi Yunus dalam kenyataan hari ini berkata orang ramai perlu berhati-hati dan tidak menularkan sebarang berita yang tidak benar seumpama itu kerana ia boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Pihak jabatan juga ingin menasihatkan orang awam agar sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan COVID-19.

“Orang awam juga dinasihatkan sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan, mengamalkan etika batuk yang betul, mengamalkan jarakan sosial dan mengelak mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala,” katanya.

Dalam mesej WhatsApp yang tular itu, tujuh lokasi tersebut adalah di Marang (kedai runcit Sungai Kerak, stesen minyak Shell Rhu Rendang, pasaraya Xiri Wakaf Tapai dan pasaraya Wahab Abdul Kadir), Kuala Terengganu (Mydin Mall dan Sabasun) dan Mydin Gong Badak di Kuala Nerus. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.